Air zam zam
KELEBIHAN DAN KEHEBATAN AIR ZAM ZAM BERDASARKAN HADIS DAN
PANDANGAN PARA ULAMA
Air zam zam mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan
berbanding air lain. Perkara ini diperakui oleh banyak kajian saintifik,
termasuk sarjana Barat. Air zamzam mempunyai banyak khasiat dan kelebihan
seperti sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud :
“Sebaik-baik air di permukaan bumi adalah air zamzam.
Padanya ada makanan yang menyegarkan dan penawar bagi segala penyakit.”
Ia juga mempunyai beberapa keistimewaan antaranya tidak pernah
kering walaupun berjuta-juta manusia memanfaatkannya setiap hari, terutama pada
musim haji. Air zamzam tidak akan kering hingga hari kiamat. Hal itu, adalah
bukti keagungan dan kebesaran Allah.
Ulama sepakat bahawa sunat bagi orang yang mengerjakan ibadah
haji dan umrah, minum air zamzam. Ini disebabkan Nabi Muhammad SAW minum air
zamzam. Berdasarkan nas asy-Syafi’eyah, bahawa air zamzam itu sunat diminum
dalam apa keadaan sekali pun. Hukum sunat itu tidak hanya khusus selepas
mengerjakan tawaf, bahkan sunat diminum bagi setiap orang walaupun bukan pada
waktu mengerjakan ibadah haji atau umrah.
Disebutkan dalam hadis, Jabir bin `Abdullah, katanya:
“Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: “Air zamzam itu
diminum untuk keperluan apa saja.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Dalam erti kata lain, jika meminumnya dengan maksud
menghilangkan rasa haus, maka Allah akan menghilangkan rasa hausnya. Jika
meminumnya untuk menghilangkan rasa lapar, maka Allah akan mengenyangkannya.
Sekiranya, meminumnya untuk menyembuhkan penyakit, maka Allah akan menyembuhkan
penyakitnya.
Diriwayatkan Rasulullah gemar meminumnya dan tangan Baginda
yang mulia dan penuh barkah pernah dicelupkan ke dalam perigi zamzam.
Rasulullah pernah bersabda:
“Air zamzam itu diminum mengikut apa yang diniatkan atau
dikehendaki. ” (Hadis riwayat Jabir, lbnu Abbas, lbnu Umar dan Muawiyah)
Ahli ilmu meluaskan huraian mereka terhadap hadis di atas.
Al-Munawa berkata: “Air zam zam adalah penghulu segala air, paling mulia,
berharga dan disukai”.
Allah memberi minum dan menolong putera kekasihnya, Nabi
Ismail bin Nabi Ibrahim dengan air zamzam. Maka, pertolongan seperti itu juga
boleh diperoleh oleh orang selepas baginda iaitu bagi sesiapa saja yang
meminumnya dengan niat ikhlas, termasuk kita.
“Ramai ulama meminumnya kerana sesuatu hajat dan mereka
berhasil memperolehnya.”
Disebut pengarang kitab al-’Aqdus Sameen bahawa Ahmad bin
Abdillah Asy-Syarifee, seorang khadam di Tanah Haram Makkah meminum air zamzam
dengan niat dan tujuan untuk berubat daripada buta. Lalu, dengan izin Allah,
beliau sembuh. Menurut pengarang kitab ini lagi, bahawa kejadian itu
dikhabarkan sendiri gurunya, al-Fufti Abdul Rahman bin Abil Khair alFasi.
Al-lmam an-Nawawi sebagai mengulas hadis di atas berkata: “Maknanya, barang siapa
minum kerana sesuatu hajat, nescaya memperoleh hajatnya itu.
“Hal ini, dicuba ulama dan orang soleh bagi segala hajat
mereka, sama ada hajat akhirat mahupun dunia. Alhamdulillah, semuanya
memperolehnya. ” (Lihat Tahzibul Asma Wal-Lughat 3/139).
Al-’Allamah lbnul Qayyim al-Jauziah pula berkata: “Saya dan
juga orang lain mencuba berubat dengan air zamzam. “Saya berubat dengannya
dalam banyak penyakit dan sembuh dengan izin Allah. Demikian juga saya
menyaksikan orang yang menggantikan makanan biasa dengan air zamzam hampir
setengah bulan atau lebih, tetapi tidak lapar. Bahkan dia juga tawaf bersama
orang ramai, mampu menggauli isterinya dan berpuasa.”
Al-’Allamah seterusnya berkata: “Sudah berlaku kepada diri
saya sewaktu di Makkah, saya sakit. Pada masa itu, saya benar-benar ketiadaan
ubat dan doktor. “Maka, saya pun berubat sendiri dengan al-Fatihah. Saya ambil
air zamzam dan bacakan di atasnya berulang kali. Kemudian, saya minum lalu
mendapati kesembuhan yang sempurna.
“Sejak itu saya melakukannya atas banyak penyakit dan
semuanya memberi sebesar-besar manfaat.” (Lihat Zadul Ma’ad 4/718)
Berkata pula Al-Hakim: “Bahawa Abu Bakar Muhammad bin Jaafar
bercerita mengenai Ibnu Khuzaimah (Ibnu Khuzaimah ialah seorang ilmuwan besar),
katanya: “Saya mendengar orang bertanya kepada lbnu Khuzaimah: “Daripada
manakah tuan memperoleh ilmu?” Jawab lbnu Khuzaimah: “(Bukankah) Rasulullah
pernah bersabda: “Air zamzam itu diminum mengikut apa yang diniatkan?” (Lihat
Sairul A’Iam an-Nubala 14/370).
AI-Jalal as-Suyuti juga menceritakan mengenai dirinya,
katanya: “Dengan memuji Allah, saya sudah musafir ke negeri Syam, Hijaz, Yaman,
India dan Maghribi. “Apabila saya menunaikan haji, saya minum air zamzam bagi
beberapa perkara yang berikut, antaranya: Agar saya mahir dalam ilmu fiqah
hingga mencapai martabat Asy-Syeikh Sirajuddin al-Bulqini.
“Dalam ilmu hadis hingga saya mencapai martabat al-Hafiz
lbnu Hajar. Ada pun, semua ini saya sebutkan demi mengingati nikmat Allah ke
atas diri saya, bukannya untuk bermegah-megah.
“Apalah yang ada untuk dimegahkan di dunia ini, sedangkan
saat kembali semakin dekat dan uban pun mulai subur.” (Lihat Husnul Muhadharah
1/215 dan 2/296).
Jika diperhatikan dengan sehalus-halusnya keterangan di
atas, maka nyata, yang amat mustahak itu adalah niat dan keimanan yang
seikhlas- ikhlasnya untuk mengiringi perbuatan minum itu.
FAKTA Rahsia kelebihan air zamzam
Boleh menyembuhkan pelbagai penyakit dengan izin Allah.
Diberkati dan mengeyangkan peminumnya.
Mampu menyempurnakan hajat peminumnya dengan izin Allah.
Allah menjadikan air zamzam sebagai penyebab kepada
pembangunan dan kemajuan bumi Makkah. Seterusnya, kewujudan Baitullah di bumi
itu.
Antara mata air syurga.
Antara tanda kekuasaan Allah di bumi Makkah.
Antara nikmat besar dan manfaat yang dapat dilihat di Tanah
Haram Makkah.
Ia keluar dari kawasan paling mulia di muka bumi ini.
Air dipilih untuk membersihkan hati Rasulullah SAW beberapa
kali.
Minuman orang mulia (al-abrar).
Menambah kekuatan badan.
No comments:
Post a Comment