Rawatan kanser bergantung kepada jenis
kanser, bahagian anggota tubuh yang tekena kanser dan juga sekiranya kanser
telah merebak. Malah faktor jenis rawatan kanser ini juga dipengaruhi oleh umur
pesakit. Kebanyakkan kanser dirawat secara pembedahan, radioterapi (terapi
sinar-X) atau kemoterapi. Satu atau lebih cara mungkin digunakan dalam merawat
pesakit yang menghidapi barah.
Tujuan rawatan kemoterapi adalah
untuk
menyembuhkan, mengawal penyakit kanser atau mengurangkan gejala penyakit
kanser.
Tempoh rawatan dan kekerapan rawatan adalah
bergantung kepada jenis kanser dan ubat yang digunakan. Secara amnya, rawatan
kemoterapi diberikan dalam tempoh enam hingga 12 bulan walaupun adakalanya
ianya boleh diberikan dalam tempoh yang lebih singkat atau lebih panjang.
Individu adalah digalakkan untuk berbincang dengan doktor yang merawat.
Kemoterapi adalah ubat-ubat yang digunakan
untuk merawat kanser dengan cara membunuh sel kanser. Ubat kemoterapi ini
berfungsi dengan cara menghalang sel kanser daripada terus bertambah. Sel
kanser akhirnya rosak dan mati. Memandangkan ubat tersebut disuntik ke dalam
darah, ubat tersebut juga boleh membunuh sel kanser di bahagian tubuh yang
lain.
Ubat kemoterapi yang berlainan mempunyai
kesan yang berbeza terhadap sel kanser. Oleh yang demikian gabungan beberapa
ubat mungkin digunakan untuk memberi kesan rawatan yang terbaik. Namun begitu,
ubat kemoterapi ini turut memberi kesan kepada sel-sel badan yang normal dan
ini menyebabkan beberapa kesan sampingan terjadi. Berbeza dengan sel kanser,
sel yang normal boleh bertambah dengan kadar segera menyebabkan kesan sampingan
yang berlaku hanyalah bersifat sementara. Malah kesan sampingan ini akan hilang
sebaik sahaja rawatan kemoterapi tamat.
Pada kebanyakan keadaan, beberapa ubat
kemoterapi diberikan serentak kepada pesakit. Hanya dalam kes-kes tertentu,
sejenis ubat kemoterapi sahaja yang digunakan dalam rawatan.
Ubat kemoterapi mestilah memasuki salur
darah untuk sampai ke sel barah dalam tubuh badan. Ubat kemoterapi memasuki
salur darah dengan segera sekiranya ia disuntik ke dalam salur darah. Sekiranya
diberikan secara kaedah lain, ubat tersebut mestilah menyerap masuk ke dalam
salur darah (contoh: ubat kemoterapi dalam bentuk biji yang dimakan dan diserap
melalui dinding perut atau usus).
Ubat kemoterapi ini akan berada dalam
sistem peredaran darah dan boleh memasuki serta memusnahkan sel-sel tertentu.
Sel yang dipengaruhi oleh ubat kemoterapi adalah sel-sel yang bertambah dengan
kadar segera seperti sel kanser. Kadar kemusnahan sel kanser adalah berbeza dan
ianya bergantung kepada jenis barah itu sendiri.
Sel tubuh normal yang bertambah cepat juga
boleh terganggu oleh kesan ubat kemoterapi tetapi sel-sel normal tersebut
berkeupayaan untuk pulih dan bertambah semula berbanding sel kanser.
Tempoh rehat di antara dua rawatan dapat
memberi peluang kepada sel-sel yang normal pulih sebelum tiba masa rawatan yang
selanjutnya.
Doktor yang merawat pesakit kanser akan
mengambil kira beberapa faktor dalam membuat perancangan rawatan kemoterapi
kepada pesakit. Antara faktor penting tersebut adalah jenis kanser, bahagian
anggota tubuh yang dihidapi kanser dan juga sekiranya kanser telah merebak.
Faktor lain yang perlu diambil kira adalah umur pesakit dan tahap kesihatan
pesakit secara umumnya. Ini bermakna setiap pesakit berkemungkinan mendapat
rawatan kemoterapi yang berbeza.
Kekerapan rawatan kemoterapi dan tempoh
rawatan adalah bergantung kepada jenis kanser, ubatan yang diberikan,
tindakbalas sel barah terhadap ubat dan kesan sampingan ubatan.
Kemoterapi biasanya diberikan dalam
beberapa tahap. Tempoh bagi setiap tahap rawatan mengambil masa beberapa jam
hingga kepada beberapa hari bergantung kepada ubatan yang diberikan. Setiap
tahap rawatan itu akan diikuti dengan tempoh rehat untuk beberapa minggu bagi
membolehkan tubuh badan pulih daripada kesan sampingan rawatan. Jumlah
keseluruhan tahap rawatan bergantung kepada tindak balas kanser terhadap
rawatan. Rawatan kemoterapi mungkin mengambil masa beberapa bulan untuk merawat
penyakit kanser. Bagi sesetengah pesakit pula, mereka dikehendaki memakan ubat
kemoterapi untuk beberapa minggu atau bulan sebelum diberikan tempoh rehat.
Pesakit mungkin diperlukan untuk menjalani
ujian darah, sinar-X atau berjumpa dengan doktor sebelum diberikan rawatan
kemoterapi dan ini sememangnya mengambil masa. Kesemua ubatan kemoterapi
disediakan dengan cara tertentu dan pesakit mungkin perlu menunggu seketika
sebelum memperolehi ubatan tersebut daripada Jabatan Farmasi hospital. Bagi membantu
pesakit mengisi masa menunggu, mereka disarankan untuk membaca buku, surat
khabar, melakukan silang kata atau menulis surat.
Doktor yang merawat pesakit kanser akan
sentiasa melakukan pemeriksaan bagi memastikan tindakbalas kanser terhadap
rawatan kemoterapi. Bagi tujuan ini, pesakit diperlukan untuk menjalani ujian
darah, sinar-X dan ujian imbasan. Hasil daripada ujian-ujian ini akan
menunjukkan tahap tindakbalas barah terhadap rawatan kemoterapi. Kadangkala
pelan rawatan perlu diubah berdasarkan keputusan ujian kerana ada masanya
rawatan yang diberikan tidak memberi sebarang kesan seperti yang dikehendaki.
Sekiranya pesakit mendapat kesan sampingan seperti rasa loya, ubat penahan
muntah akan dibekalkan. Pesakit digalakkan untuk mengambil ubat penahan muntah
sebelum mendapatkan rawatan kemoterapi yang berikutnya. Tanya doktor, jururawat
atau ahli farmasi bagaimana anda perlu mengambil ubat yang ditetapkan. Rujukan
Setiap ubat semestinya mempunyai kesan
sampingan. Rawatlah secara Semulajadi dengan Himax5 dan Intense Energie.
No comments:
Post a Comment